Tan Cheng Hoe Kekal Kemudi Skuad Kebangsaan

Khabar gembira buat peminat bola sepak tanah air apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk melanjutkan kontrak Tan Cheng Hoe sebagai pengendali skuad kebangsaan.

Badan induk bola sepak negara itu menerusi Jawatankuasa Pengurusan pasukan kebangsaan bersetuju untuk melanjutkan kontrak Cheng Hoe sehingga tahun 2020 dan beliau diberikan petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baru iaitu mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2020 dan memastikan pasukan kebangsaan layak ke temasya Piala Asia 2023.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan pasukan kebangsaan kerana melanjutkan kontrak beliau dan beliau sedia untuk mengambil cabaran bersama skuad kebangsaan.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan pasukan kebangsaan kerana melanjutkan kontrak saya. Saya ambil perkara ini sebagai satu cabaran dan saya peribadi meletakkan sasaran untuk Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

“Kita perlukan satu komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Bukan hanya daripada saya dan FAM tetapi para pemain juga harus memainkan peranan. Penyokong juga perlu memberikan komitmen kerana saya yakin mereka mahu melihat Malaysia layak ke peringkat tertinggi seperti Piala Asia,” kata Cheng Hoe dalam sidang media FAM.

Lanjutan kontrak Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan negara ini nyata melegekan para peminat setelah sebelum ini timbul tanda tanya mengenai masa depan beliau sama ada terus membimbing skuad Harimau Malaya ataupun digantikan dengan jurulatih yang lain.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2023, Cheng Hoe menambah beliau meletakkan harapan besar terhadap pemain muda negara.

“Saya rasa ramai pemain muda yang berpotensi boleh diserapkan ke pasukan senior pada masa akan datang. Yang penting, pemain muda ini mendapat minit bermain yang cukup dalam Liga Malaysia. Perkara ini menjadi penanda aras apabila anda kerap diturunkan, pemain itu mampu untuk meningkatkan kebolehan mereka,” tambahnya.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Kekal Mengendalikan Pasukan Negara ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *