Tan Cheng Hoe Kini Berstatus Ejen Bebas ?

Teka-teki mengenai masa depan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe kembali menjadi tanda tanya selepas beredar khabar angin di media sosial bahawa belau kini berstatus ejen bebas.

Kontrak Cheng Hoe bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir pada 1 Januari lalu dan badan induk bola sepak negara itu masih lagi belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu mengekalkan khidmat Cheng Hoe atau menggantikan beliau dengan jurulatih yang lain.

Menurut bekas pengendali Kedah ini, beliau tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan dan hanya mahu pemain meningkatkan lagi prestasi menjelang kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia serta kejohanan Pesta Bola Merdeka.

“Saya tak boleh mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini dan tunggu saja perbincangan FAM.

“Apa yang penting pemain kena meningkatkan prestasi mereka. Kita tak tahu akan jumpa pasukan mana lagi, tapi yang pasti kita akan jumpa pasukan lebih kuat seperti dari Timur Tengah, Asia Barat atau Asia Tengah.

“Sudah pasti laluannya lebih sukar dan saya harap pemain ambilnya sebagai satu cabaran. Saya rasa mereka pun bersemangat untuk bermain di pentas lebih tinggi.

“Dalam bola sepak kena ada perubahan, kita tak boleh fokus di Asia Tenggara saja. Jadi kita perlu meningkatkan pasukan dan kemahiran individu ke satu tahap lagi,” kata Cheng Hoe menurut laporan Berita Harian.

Terdapat ura-ura bahawa jika Cheng Hoe tidak melanjutkan kontrak untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dan menjadi ejen bebas, maka beliau akan mengendalikan sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super. Namun masih belum jelas pasukan mana yang akan dikendalikan oleh Cheng Hoe.

Apa yang pasti, Cheng Hoe perlu dikekalkan sebagai pengendali pasukan kebangsaan kerana kualiti serta kemampuan pasukan meningkat naik dua kali ganda sejak dibimbing oleh bekas ketua jurulatih pasukan Kedah ini.

Skuad Harimau Malaya berubah daripada pasukan belasahan dalam saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2019 kepada finalis Piala AFF Suzuki 2018.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Perlu Dikekalkan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *