Tan Cheng Hoe Positif Malaysia Mampu Raih Kemenangan

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe positif tentang peluang pasukan negara untuk menewaskan pasukan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A hari ini sekaligus mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Menurut Cheng Hoe, beliau mempunyai perancangan tersendiri bagi menyekat pergerakan pemain Myanmar dan bekas ketua jurulatih pasukan Kedah ini meletakkan sepenuh kepercayaanny terhadap pemain bagi membawa cabaran pasukan dalam perlawanan getir ini.

“Tentunya kami memerlukan tiga mata untuk mara ke peringkat seterusnya tetapi sebagai ketua jurulatih, saya harus menghormati lawan. Myanmar telah beraksi baik setakat ini dan mereka memiliki strategi untuk menahan asakan kami.

“Namun, berbekalkan pengalaman serta sokongan padu daripada penyokong sendiri, kami positif untuk meraih keputusan yang diinginkan (menang),” kata Cheng Hoe kepada Utusan.

Perlawanan malam ini juga menjadi medan untuk membalas dendam di atas kekalahan pada saingan Piala AFF Suzuki edisi 2016 lalu dimana Harimau Malaya yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee tewas tipis kepada Myanmar dengan keputusan 1-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sekaligus terkeluar daripada saingan.

Pada masa yang sama, bekas penolong kepada Nelo Vingada ini mahukan para pemain untuk tidak membuat kesilapan mudah yang boleh membawa padah buat pasukan negara.

“Sebagai jurulatih saya mahu setiap pemain mempunyai mentaliti untuk menang apabila turun ke padang dan fokus sepenuhnya dalam setiap saat. Kelekaan akan menghukum kita dan memberi kelebihan kepada lawan. Saya pasti bermain di laman sendiri sentiasa memberi motivasi positif kepada pemain,” tambah Cheng Hoe.

Apa yang pasti, para pemain perlu menampilkan aksi terbaik mereka bagi memastikan tiga mata penuh diraih oleh pasukan negara sekaligus mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan edisi kali ini.

Pasukan Myanmar dilihat bakal turun dengan corak bertahan kerana satu mata sudah cukup bagi mereka untuk layak. Jadi barisan serangan pasukan negara perlu lebih tajam dan juga kreatif.

Baca Juga: Jangan Ganggu Fokua Pemain

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *