Terengganu FC II Ganti Terengganu City FC ?
- Liga Perdana
- Nov 13, 2018
- No comment
Kemelut yang dihadapi oleh Terengganu City FC kini memasuki babak baru apabila dikhabarkan mereka tidak akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan. Tempat mereka dikatakan bakal diambil alih oleh pasukan Terengganu FC II.
Juara Piala FAM 2018, Terengganu City terpaksa melupakan hasrat sertai Liga Perdana musim depan. Sebagai pengganti. TFC II bakal mengisi kekosongan itu.
Perlis dan ATM juga dalam senarai menunggu bagi mengisi beberapa slot kekosongan di Liga Perdana musim hadapan.
— MY Soccer League (@mysoccerleague) November 13, 2018
Terengganu City yang muncul sebagai juara Piala FAM 2018 apabila mereka menewaskan pasukan Selangor United di perlawanan akhir sebelumnya menghadapi masalah tunggakan gaji pemain dan juga pegawai pasukan yang sudah berbulan-bulan tidak dibayar.
Meskipun mengumumkan mendapat penajaan untuk mengharungi musim baru yang berjumlah RM6 Juta seperti yang diumumkan oleh pasukan dalam media sosial mereka, namun masih ada lagi pemain dan pegawai yang belum menerima tunggakan gaji.
Malah, pihak pengurusan TCFC juga mengabaikan arahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membayar tunggakan gaji pemain dan juga pegawai pasukan.
Selain pasukan Terengganu FC II, dua lagi pasukan iaitu Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga berada dalam senarai untuk menggantikan pasukan Terengganu City FC.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Terengganu sedia untuk mengkaji cadangan untuk mengambil TCFC menjadi sebahagian pasukan yang diolah oleh mereka. Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah tidak menjamin perkara itu akan menjadi kenyataan.
“Setakat ini kerajaan negeri belum buat apa-apa keputusan mengenai perkara itu kerana perlu adakan perbincangan lebih lanjut.
“Ini kerana ia membabitkan jumlah kewangan yang besar jika dicampur dengan lima pasukan sedia ada di bawah kerajaan negeri.
“Kita juga perlu melihat kemampuan kerajaan negeri kerana isu ini turut membabitkan tunggakan gaji pemain dan jurulatih skuad itu,” kata Wan Sukairi kepada Berita Harian.
Wan Sukairi akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu serta Timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim bagi membincangkan perkara ini.
Baca Juga: 10 Pasukan Hadapi Masalah Pembayaran Gaji