Terengganu FC Mahu Tamatkan Badi Seri

Terengganu FC mahu menamatkan badi keputusan seri dalam saingan Liga Super musim ini apabila menerima kunjungan pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan, Melaka United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sabtu ini.

Setakat lima perlawanan liga, Terengganu mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan. Kemenangan tunggal skuad Penyu hadir ketika beraksi di tempat lawan lebih tepatnya ketika menundukkan Kuala Lumpur di Cheras.

Oleh sebab itu, perlawanan menentang Melaka Sabtu ini menjadi misi tersendiri buat para pemain dimana mereka mahu mencatat kemenangan pertama di tempat sendiri sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga.

“Perlawanan Sabtu ini adalah peluang terbaik buat kami untuk merakam kemenangan pertama musim ini sesudah tiga perlawanan terdahulu di tempat sendiri berakhir dengan keputusan seri.

“Kami tidak mahu dilabel pakar seri apatah lagi bermain di stadium sendiri sebaliknya tiga mata sudah pasti menjadi impian kami dan juga peminat setia skuad TFC,” kata pemain sayap, Shahrul Aizad Zulkufli menurut laporan Berita Harian.

Tambah Shahrul, lawan pada Sabtu ini merupakan pasukan yang perlu diberikan perhatian namun beliau enggan terlalu memikirkan perkara tersebut dan mahu menampilkan persembahan terbaik andai diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Pada saya kami mampu menyaingi skuad itu biar pun atas kertas pasukan itu juga mempunyai pemain berkualiti, tapi misi kami adalah untuk menang,” tambahnya.

Permulaan Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini sedikit lari daripada jangkaan dimana ramai pihak menjangkakan finalis Piala Malaysia edisi tahun lalu itu untuk bermula dengan cemerlang sekaligus menghuni kelompok empat pasukan teratas liga.

Namun, perkara yang sebaliknya berlaku. Prestasi yang ditunjukkan oleh beberapa pemain khususnya pemain import iaitu ketua pasukan, Kipre Tchetche dan Sanjar Shaakmedov juga belum mencapai tahap maksimum setelah lima perlawanan liga.

Kemenangan pada Sabtu ini bukan sahaja bakal melonjakkan kedudukan Terengganu dalam carta liga tetapi bakal meredekan sedikit tekanan yang dihadapi oleh pasukan ketika ini.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Senaraikan Tujuh Muka Baharu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *