Terengganu FC Tidak Berdepan Sebarang Krisis
- Liga Super
- Mar 8, 2019
- No comment
Pemain sayap pasukan Terengganu FC, Ahmad Syamim Yahya menafikan pasukannya dilanda krisis dalaman berhubung prestasi yang tidak menentu ditunjukkan oleh pasukan itu dalam saingan Liga Super 2019 setakat ini.
Menurut bekas pemain tengah Pahang itu, faktor keserasian antara pemain menjadi penyebab naib juara Piala Malaysia musim lalu itu belum menemui prestasi sebenar dan masih bergelut mencari kemenangan di tempat sendiri.
“Pasukan OK, tiada sebarang isu termasuk krisis dalaman antara kami dan majikan, jika dilihat daripada barisan pemain termasuk tenaga import, mereka semuanya berkualiti dan kuat kerana masing-masing mempunyai kemahiran yang tinggi.
“Malah jika dilihat musim lalu pun skuad kami ini yang sebahagian besarnya adalah pemain sama sudah membuktikan kemampuannya sehingga bergelar naib juara Piala Malaysia.
“Namun, saya tidak menolak faktor keserasian antara pemain baharu dan sedia ada menjadi penyebab kami gagal memperagakan aksi terbaik namun ia tidak begitu serius dan kritikal.
“Kami percaya selepas beberapa perlawanan lagi, masalah ini dapat diatasi lebih-lebih lagi kualiti yang ada pada pemain tempatan dan juga import serta ditambah pengalaman ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menjadi elemen penting buat pasukan,” kata Syamim menurut laporan Berita Harian.
Musim ini, Terengganu FC membawa masuk pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov yang juga pemain terbaik Liga Uzbekistan bagi digandingkan dengan pemain sedia ada iaitu Lee Andrew Tuck dan Thierry Chanta-Bin.
Namun ketiga-tiga pemain itu dilihat belum benar-benar serasi selain lebih gemar mengamalkan corak permainan individu.
“Apa yang kami harapkan pertemuan dengan Melaka United (MU) Sabtu ini, semua pemain mesti mematuhi taktikal yang diatur jurulatih bagi memastikan tiga mata berjaya dikutip di tempat sendiri.
“Bagaimanapun kami juga mesti berwaspada kerana pasukan MU itu bukan calang-calang pasukan kerana mereka mempunyai kekuatan di semua posisi, kami harus menyekat mereka bermula daripada bahagian pertahanan lagi sebagaimana ketika beraksi menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) tempoh hari,” tambahnya.
Baca Juga: Terengganu FC Mahu Tamatkan Badi Seri