Thailand Akan Tamatkan Badi – Milovan Rajevac
- Harimau Malaya
- Nov 30, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan Thailand, Milovan Rajevac menjelaskan pasukan bimbingan beliau akan cuba menamatkan badi iaitu tidak pernah menang apabila beraksi di Kuala Lumpur sejak 30 tahun lalu pada perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala AFF Suzuki 2018 pada esok.
Ketika ditemui pada sidang media antara ketua jurulatih kedua-dua pasukan sebentar tadi, Rajevac pada mulanya berkata beliau gembira dengan layanan yang diberikan oleh pasukan tuan rumah.
“Saya gembira berada di sini dan berasa senang dengan layanan yang diberikan. Ini adalah perlawanan peringkat separuh akhir dimana terdapat empat pasukan terbaik yang bertanding. Esok merupakan separuh masa pertama manakala separuh masa kedua bakal dijalankan di Bangkok pada 5 Disember nanti.”
“Kami sedar ramai penyokong akan memenuhi stadium dan suasana pastinya berbeza. Saya harap semua pihak dapat menikmati perlawanan pada hari esok,” kata Rajevac kepada FoxSport Asia.
Rajevac kemudiannya mengulas mengenai badi pasukan Thailand yang tidak pernah menang apabila beraksi dii Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Perkara itu adalah satu fakta tapi kami mahu mengekalkan corak permainan tak kira beraksi di tempat lawan mahupun di laman sendiri. Saya tak rasa perkara itu (badi) akan memberi kesan kepada pasukan jika kita melihat kepada permainan sebelum ini. Saya pasti pasukan dapat menampilkan persembahan terbaik.
Jurulatih dari Serbia ini dilihat tidak terlalu menghiraukan mengenai rekod burun pasukan beliau di Bukit Jalil dan berkata badi tersebut bakal ditamatkan.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya cuba memastikan pasukan mengekalkan corak permainan tidak kiralah beraksi di tempat sendiri atau di laman lawan. Beraksi di stadium yang cantik dan di hadapan puluhan ribu penonton yang bakal bersorak sepanjang perlawanan. Amat penting untuk kita memberikan sepenuh perhatian terhadap perlawanan,” kata Rajevac.
Rajevac juga mengulas mengenai permukaan padang SNBJ dimana beliau menyatakan para pemain sudah biasa beraksi di atas permukaan padang seperti itu.
“Kami semakin menyesuaikan diri dengan jenis padang yang digunakan di SNBJ. Sebelumnya kami beraksi di Hong Kong pada Oktober dan Filipina yang menggunakan rumput sama seperti yang diguna pakai di SNBJ. Sesi latihan malam ini merupakan medan terbaik untuk kami menyesuaikan diri dengan permukaan padang,” tambahnya.
Akhir sekali, Rajevac juga memuji pasukan Malaysia dan berpendapat Harimau Malaya mampu untuk melayakkan diri ke temasya Piala Asia pada masa akan datang.
“Kami pada mulanya tidak perasan namun setelah membuat kajian, ada beberapa pemain bagus dalam pasukan Malaysia.
“Bola sepak Malaysia sedang berkembang dan ianya sedang menuju ke arah yang betul. Namun ada beberapa perkara yang perlu dijalankan dengan betul. Malaysia mempunyai pemain muda berbakat namun jika mahu mencapai kejayaan, campuran antara pemain muda dan pemain senior harus dilakukan.”
“Jika mereka disiplin, fokus dan mempunyai motivasi tinggi, tidak mustahil Malaysia akan layak ke temasya seterunya,” tambahnya.
Baca Juga: 100 Ribu Penonton Pun Tak Jadi Masalah – Milovan Rajevac