Thailand Dan Jepun Pilihan Akhyar Rashid

Pemain skuad 19 tahun negara, Akhyar Rashid mengatakan Thai League dan J League menjadi pilihan beliau untuk mengembangkan lagi karier sekaligus meningkatkan lagi mutu dan tahap permainan beliau.

Setelah mempamerkan aksi yang cemerlang ketika temasya AFC Bawah 23 Tahun dan juga Sukan Asia 2018, khabarnya beberapa kelab luar negara menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun ini.

Ketika ditemui Berita Harian, Ketua Pegawai Operasi Marquee Managment Sdn Bhd, Wan Mohd Anwari Wan Amran, mengesahkan mereka kini sedang mengenal pasti beberapa kelab yang mungkin berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar Rashid. Marquee Management SDN BHD merupakan ejen yang mewakili Akhyar.

“Selaku ejen dilantik Akhyar, saya berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat memberikan kerjasama dan melepaskan pemain jika ada mana-mana kelab dari luar negara berminat mendapatkan khidmatnya.

“Kami akan menghantar Akhyar bermain secara ‘pinjaman’ kerana dia masih mempunyai kontrak setahun bersama KFA,” katanya.

Tambah Wan Mohd Anwari, jika segalanya berjalan dengan lancar, penghijrahan Akhyar itu nanti akan dapat membuka mata dan memberi inspirasi kepada pemain muda lain untuk membuat keputusan berani untuk beraksi bersama kelab di luar negara.

Wan Mohd Anwari juga berkata setakat ini pemain pilihan skuad Datuk Ong Kim Swee itu belum menerima tawaran rasmi daripada mana-mana kelab.

Untuk rekod, Malaysia kini mempunyai dua pemain yang beraksi dalam saingan Thai League iaitu Shahrel Fikri Fauzi bersama Nakhon Ratchasima FC dan Curren Ferns bersama Shukothai FC.

Apa yang pasti, jika Akhyar mendapat tawaran dari mana-mana kelab luar negara, beliau tidak perlu berfikir panjang dan terus menerima tawaran tersebut kerana ianya merupakan satu peluang keemasan untuk beraksi menentang pemain yang lebih baik dan beraksi di peringkat yang lebih tinggi berbanding Liga Malaysia.

Apa pendapat anda mengenai pilihan AKhyar Rashid yang mahu beraksi dalam saingan Thai League dan juga J League bagi meningkatkan mutu dan tahap permainan beliau ? Mampukah Akhyar menyinar jika beraksi di luar negara ?

Baca Juga: Safawi Rasid – Kekal Bersama JDT Atau Berhijrah ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *