Thitipan Puangchan Sah Sertai Oita Trinita FC

Pemain tengah pasukan kebangsaan Thailand, Thitipan Puangchan sah menyertai kelab yang berpangkalan di Bandar Oita, Oita Trinita FC dalam saingan J1 League musim 2019.

Thitipan menyertai Oita secara pinjaman dari kelab Thai League 1, BG Pathum United FC sehingga hujung musim 2019.

Dalam saingan J2 League musim lalu, Oita muncul sebagai naib juara di belakang pasukan Matsumoto Yamaga FC. Pasukan bimbingan Tomohiro Katanosaka ini berjaya mengumpul 76 mata daripada 42 perlawanan.

Meskipun mempunyai kutipan mata yang sama dengan pasukan di tangga ketiga, Yokohama FC, namun Oita menduduki tangga kedua sekaligus layak beraksi dalam saingan J1 League musim ini melalui perbezaan jaringan.

Bagi Thitipan Puangchan pula, musim lalu pemain berusia 25 tahun ini beraksi bersama pasukan BG Pathum United FC yang sebelum ini lebih sinonim dengan panggilan Bangkok Glass dalam saingan Thai League 1.

Thitipan tampil sebanyak 31 perlawanan bersama BG Pathum dan beliau berjaya menjaringkan 5 gol dalam saingan Liga. Namun sayangnya, BG Pathum tersingkir ke saingan Thai League 2 musim ini setelah mereka menamatkan saingan Thai League 1 musim lalu di tangga ke-14.

Baru-baru ini, Thitipan berjaya membantu Thailand mara ke peringkat 16 pasukan terbaik temasya Piala Asia 2019 dimana beliau menjaringkan satu gol ketika skuad Gajah Perang seri dengan pasukan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A. Thailand mara sebagai antara pasukan di tangga ketiga terbaik.

Dalam saingan J1 League musim ini, Thitipan akan menyertai dua lagi rakan sepasukan dalam pasukan Thailand iaitu Chanathip Songkrasin yang beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo dan Theerathon Bunmathan yang akan beraksi bersama Yokohama F-Marinos.

Menurut laporan Fox Sport Asia, Thitipan berazam untuk memberikan yang terbaik ketika beraksi bersama Oita.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk Oita. Saya harap saya boleh membantu pasukan sebanyak yang mungkin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden BG Pathum United FC, Khun Pawin Bhirombhakdi kerana memberikan sokongan dan menyediakan peluang untuk saya mengejar impian saya.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya. Mereka sentiasa memberikan sokongan terbaik,” kata Thitipan.

Baca Juga: Theerathon Bunmathan Sertai Yokohama F-Marinos

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *