Tiada Pemain Terlibat Dengan Bookie – PFA
- Liga Perdana
- Feb 11, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yakin tiada pemain pasukan itu terlibat dengan gejala rasuah ataupun terikat dengan bookie meskipun belum menerima gaji pertama bagi saingan musim 2019.
Presidennya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan beliau di bahu pemain meskipun persatuan itu menghadapi masalah untuk membayar gaji pemain. Menurut Datuk Amizal, pemain takkan tergamak berbuat demikian kerana mereka sayangkan karier masing-masing.
“Saya penuh kepercayaan pemain-pemain Perlis tidak akan melibatkan diri dengan perbuatan haram itu kerana mereka lebih sayangkan karier masing-masing,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai perkara ini setelah satu pendedahan dibuat oleh seorang bekas pemain Liga Perdana yang mendakwa pernah didekati bookie setelah mengetahui pasukan yang diwakili oleh beliau menghadapi masalah pembayaran gaji pemain yang serius.
Tambah pemain yang enggan didedahkan namanya itu, beliau terpaksa mengambil keputusan bersara daripada sukan bola sepak yang diminatinya kerana pasukannya gagal untuk membayar gajinya sepanjang beraksi dalam sainngan Liga Malaysia musim lepas.
Pendedahan ini serta-merta menjadi topik perbincangan peminat bola sepak tanah air dan nama pasukan Perlis menjadi sebutan apabila mereka turut menghadapi masalah sama iaitu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.
Pada saingan Liga Perdana musim 2017 lalu, tiga pemain MISC-Mifa yang kini dikenali dengan nama Petaling Jaya City FC ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dengan gejala rasuah dan pengaturan perlawanan.
Tiga pemain yang dimaksudkan ialah pemain import dari Argentina, Alan Aciar dan dua pemain tempatan iaitu Mohd Khairul Izzuwan Saari dan S.Harivarman.
Sumber Gambar: Pemilik gambar
Selain PJ City FC, pasukan lain seperti Kuala Lumpur dan Sime Darby FC juga pernah berdepan dengan isu pemain yang terlibat dengan gejala rasuah pada tahun 2013 silam.
Hasilnya, pada tahun berikutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk mengenakan denda sebanyak RM5,000 kepada 17 pemain Kuala Lumpur.
Menurut FAM, mereka mengambil kira faktor bahawa pemain menjadi ‘mangsa keadaan’ penaja yang mendesak mereka untuk terlibat dengan skandal berkenaan.
Baca Juga: PFA Sepatutnya Langsaikan Hutang Dulu – Datuk Shahidan