Tiada Rasa Gentar – Syamer Kutty Abba
- Harimau Malaya
- Nov 30, 2018
- No comment
Pemain tengah pasukan negara, Syamer Kutty Abba mengakui tiada rasa gentar dalam diri beliau menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok.
Menurut Syamer, apabila barisan pemain kedua-dua pasukan menjejakkan kaki di atas padang, mereka sama sahaja dan tiada sebab untuk berasa tertekan meskipun pasukan lawan mempunyai rekod yang lebih baik.
“Saya tidak tertekan sebab saya percaya setiap pemain di atas padang adalah sama saja. Apa yang penting ialah kita perlu perbaiki kesilapan dan lakukan yang terbaik.
“Insya-Allah kalau ada rezeki kita boleh menang. Bagi saya kami perlu melakukan sejarah baharu.
“Jadi, kita perlu ubah (mentaliti) yang kita juga boleh mencatatkan kemenangan sebab Malaysia juga antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
“Untuk saya di bahagian tengah, kami perlu kurangkan kesilapan dan cuba menguasai bola bagi membolehkan kami mencipta lebih banyak peluang,” kata Syamer Kutty Abba menurut laporan Harian Metro.
Syamer menambah beliau percaya ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sudah menyediakan ramuan serta perancangan terbaik bagi mengekang segala asakan yang bakal diberikan oleh pemain Thailand.
“Saya rasa jurulatih sudah buat persediaan apa yang perlu dilakukan apabila bertemu dengan Thailand. Jadi apa saja yang jurulatih arahkan kami akan cuba lakukan di atas padang,” tambahnya.
Syamer bakal memainkan peranan penting pada perlawanan esok kerana beliau dan seorang lagi pemain tengah, Akram Mahinan akan menjadi harapan utama pasukan negara untuk mengekang serta mematahkan segala gerakan serangan lawan.
Jentera serangan skuad Gajah Perang yang diketuai oleh Adisak Kraisorn dan Supachai Jaideed sememangnya menjadi jentera serangan paling berbahaya dalam saingan edisi kali ini. Kraisorn sahaja telah menjaringkan 7 gol setakat ini. Jauh meninggalkan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha yang mempunyai 4 gol.
Apa yang pasti, pemain yang diturunkan kelak haruslah menampilkan persembahan terbaik mereka bagi memastikan Harimau Malaya memperoleh bekalan selesa untuk dibawa ke Bangkok nanti.
Separuh akhir kedua akan berlangsung pada 5 Disember 2018.
Baca Juga: Farizal Marlias Wajar Dikekalkan