Tips Dari Sami Hyppia Untuk Jadi Pertahanan Terbaik
- Luar Negara
- Dec 20, 2018
- No comment
Baru-baru ini pihak Inikan Bola berkesempatan untuk menemubual bekas pemain Liverpool, Sami Hyppia terima kasih di atas peluang yang diberikan oleh pihak Stadium Astro.
Untuk anda peminat setia bola sepak, jangan lupa untuk menyaksikan Sami Hyppia dalam rancangan interaktif peminat iaitu Man On The Street di platform YouTube Stadium Astro. Ikuti Stadium Astro di laman media sosial bagi mendapatkan maklumat terkini tentang legenda bola sepak yang akan melawat Kuala Lumpur!
Wakil kami bertanyakan serba sedikit tips dan juga nasihat daripada Sami untuk pemain pertahanan dari Asia Tenggara khususnya mencapai tahap terbaik.
Inikan Bola: Anda telah beraksi di salah satu kelab terbesar di Eropah iaitu Liverpool. Anda ada tips ataupun nasihat untuk pemain pertahanan dari Asia Tenggara khususnya bagi mereka mencapai tahap terbaik ?
Sami Hyppia: Saya akan katakan pemahaman anda mengenai permainan dan juga situasi. Bagaimana anda akan menyelesaikan masalah untuk diri anda dan juga pasukan adalah sangat penting.
Anda perlu menganalisis dengan baik kerana ada pintu gol di belakang anda. Apa yang harus saya lakukan ketika menghadapi situasi tertentu ? Sudah tentu aspek fizikal penting. Seberapa pantas anda ? Adakah anda melompat dengan tinggi ? Apakah teknik anda ? Adakah anda boleh menghantar bola menggunakan kedua-dua kaki ?
Ini kerana pihak lawan akan menggunakan kelemahan anda untuk menembusi benteng pertahanan. Itu semua aspek yang penting. Dan satu lagi ialah anda perlu bersedia dari segi mental kerana anda perlu bekerja keras untuk meningkatkan kualiti anda.
Inikan Bola: Aspek mana yang perlu diperbaiki oleh bola sepak Asia bagi memastikan pemain dari rantau ini mampu beraksi di peringkat tertinggi seperti contoh EPL ?
Sami Hyppia: Sejujurnya saya tidak berapa jelas. Di EPL kita ada beberapa pemain Asia. Di Leverkusen saya pernah mengendalikan Son Heung-min. Beliau mempunyai segala yang diperlukan untuk beraksi di EPL dan kini beliau sedang menampilkannya.
Apa yang saya suka ialah mentaliti pemain Asia. Mereka sentiasa bekerja keras ketika sesi latihan untuk meningkatkan kualiti permainan. Mereka menghormati rakan sepasukan dan juga barisan jurulatih.
Jika semua pemain Asia ada sikap sebegitu, ia adalah satu perkara yang bagus. Seperti yang saya katakan, kecergasan dan kekuatan adalah perkara yang perlu untuk anda menyesuaikan diri. Saya datang dari Finland ke England. Bagi saya sedikit mudah kerana mampu untuk bercakap bahasa Inggeris. Namun tidak bagi semua orang.
Fikiran anda perlu kuat bagi memastikan anda sampai ke tahap tertinggi. Sesudah sampai, maka anda perlu mengekalkan momentum tersebut.
Inikan Bola: Setelah anda bersara, anda menceburi bidang kejurulatihan. Apakah tips untuk jurulatih muda sejak Liga Malaysia sendiri memiliki ramai jurulatih muda?
Sami Hyppia: Cuba untuk pergi ke Eropah. Lihat sesi latihan yang dijalankan oleh beberapa pasukan besar di sana. Saya rasa itu adalah langkah yang betul untuk cuba meningkatkan lagi ilmu anda.
Apabila anda menyaksikan perlawanan di televisyen, tidak banyak yang anda boleh lakukan. Anda perlu melihat secara langsung semua pemain di atas padang.
Anda boleh mendengar sesi temubual penuh bersama Sami Hyppia di sini:
https://inikanbola.my/wp-content/uploads/2018/12/Sami-Hyppia.m4a
Baca Juga: Dedikasi Dan Kerja Keras Kunci Utama – Qunton Fortune