Tragedi Ini Sudah Kami Jangka – Pemain Perlis
- Liga Perdana
- Feb 21, 2019
- No comment
“Kami sudah jangka tragedi ini akan berlaku”. Itulah luahan pemain Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman setelah menyaksikan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan untuk membatalkan penyertaan pasukan Perlis dari saingan Liga Perdana musim ini.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Ezzrul menegaskan sejak beliau dan 17 rakan yang lain tidak dibayar gaji oleh pengurusan baru pasukan, mereka mulai syak ada sesuatu yang tidak kena.
“Akhirnya terbukti dan apa yang kami bimbang berlaku juga,” katanya.
Pada masa yang sama, Ezzrul turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat latar belakang Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.
Katanya, individu itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala apa yang berlaku kepada PFA.
“Selain itu, Presiden (Ahmad Amizal Shaifit) juga telah tidak menandatangani kontrak kami (musim ini) walaupun pemain diarah untuk tandatangan,” tambahnya.
Bulan lalu, Ezzrul Ikmanizar bersama 11 orang lagi pemain PNL II mendedahkan mereka terpaksa membuat kerja sambilan setelah dibayar gaji oleh pengurusan pasukan Perlis. Pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu dipercayai tidak dibayar gaji selama tujuh bulan oleh pihak pengurusan.
Selepas pendedahan yang dibuat oleh Ezzrul dan rakan sepasukan, PFA kemudiannya mengumumkan mereka kehilangan empat penaja besar yang berminat untuk menaja pasukan musim ini. Empat penaja tersebut dikatakan sudah hilang minat dan enggan menaja pasukan itu kerana pelbagai masalah dalaman yang dihadapi oleh pihak pengurusan pasukan.
Setelah menghantar dokumen kewangan kepada MFL, badan pengelola Liga Malaysia itu kemudiannya memutuskan untuk membatalkan penyertaan skuad Singa Utara kerana menganggap kewangan pasukan itu tidak mencukupi bagi memastikan mereka terus beraksi sehingga musim 2019 melabuhkan tirainya.
Ahmad Amizal menjadi sasaran kemarahan penyokong dan juga pemain musim ini dimana rata-rata daripada mereka mempersoalkan apa motif sebenar ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan PFA sebelum musim 2019 bermula.
Peminat setia pasukan mendesak agar Ahmad Amizal segera meletak jawatan kerana beliau sudah memalukan dan mencemarkan nama baik bola sepak Perlis.
Baca Juga: Penyokong Perlis Minta Presiden Letak Jawatan