Trio Samba Hukum Kelekaan Kuala Lumpur
- Liga Super
- Apr 30, 2018
- No comment
Trio Samba pasukan perak iaitu Gilmar Da Silva, Wander Luiz serta Leandro Dos Santos menghukum kealpaan pasukan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Super semalam. Ketiga-tiga pemain ini menjaringkan satu gol bagi memastikan Perak berada dalam kedudukan tiga pasukan terbaik dalam Liga.
Perak sememangnya menguasai perlawanan semalam dengan melakukan beberapa percubaan dan menyerap asakan daripada Kuala Lumpur dengn baik. Barisan serangan Perak yang diketuai trio Samba paling menonjol semalam apabila mereka berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Kuala Lumpur.
Di bahagian pertahanan pula, Robert Cornthwaite dan Shahrul Saad seakan-akan “berehat” kerana barisan serangan Kuala Lumpur tidak beraksi dengan baik. Hanya satu atau dua percubaan saja yang dilakukan oleh trio serangan yang diisi oleh Zaquan, Indra dan Ashi. Namun percubaan tersebut tidaklah mendatangkan bahaya buat Perak.
Bagi anak-anak buah Fabio Maciel, segalanya serba tidak menjadi pada perlawanan semalam. Persembahan mereka jauh berbeza berbanding ketika mereka menewaskan Selangor tempoh hari. Barisan serangan yang tidak efektif, pemain tengah gagal untuk menyekat kemaraan serangan Perak dan barisan pertahanan yang sangat mudah untuk dibolosi.
Aksi penjaga gol muda, Khatul Anuar juga tidak sebaik perlawanan tempoh hari. Beliau sepatutnya boleh menghalang gol kedua Perak. Namun, tangkapan kurang kemas beliau berjaya disambar oleh Wander Luiz.
Banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh pasukan Kuala Lumpur jika mereka mahu kembali mengutip kemenangan pada perlawanan akan datang. Bahagian serangan dan pertahanan adalah perkara yang perlu diberi perhatian khusus oleh Fabio Maciel kerana kita boleh lihat betapa rapuhnya dua bahagian ini semalam.
Untuk pasukan Perak, apa yang perlu dilakukan mereka ialah mengekalkan rentak semasa untuk memastikan mereka kekal berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga.
Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Perak ke atas Kuala Lumpur semalam ? Mampukah mereka mengekalkan rentak kemenangan ini pada perlawanan akan datang ?
Dan bagi pasukan Kuala Lumpur pula ? Mampukah mereka bangkit pada perlawanan seterusnya ?
Baca Juga: Kuala Lumpur Lebih Baik Tanpa Guilherme De Paula ?