Tulangis Group Nafi Hanelang FC Milik Mereka
- Lain-lain
- Jan 29, 2019
- No comment
Penaja Hanelang FC pada musim 2018, Tulangis Group menafikan mereka mengambil alih pengurusan pasukan itu daripada pengurusan lama musim lalu. Perkara ini disampaikan oleh pemilik syarikat, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Datuk Seri Mohamed Rahim.
Menurut Datuk Hazarul, pihaknya hanya menjadi penaja kepada kelab yang dimiliki oleh Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) yang beraksi dalam saingan Liga FAM musim lalu.
“Kami hanya penaja kelab itu (Hanelang FC) dan bukannya pemilik, kami taja dengan niat membantu pemain dan kelab itu dalam saingan Liga FAM. Pemilik sebenar pasukan itu masih di bawah Hanelang FC dan PBSDHT.
“Jumlah tajaan sudah saya salurkan kepada pengurusan Hanelang FC berjumlah RM600,000 pada peringkat permulaan sebelum ditambah RM200,000 lagi untuk menampung kos pengurusan kelab.
“Jadi sekarang tidak timbul saya pemilik pasukan itu (Hanelang FC) kerana saya hanya bagi duit sebagai penaja, bukan ambil pasukan itu, lagipun dalam mesyuarat awal dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) termasuk pengurusan Hanelang FC, kami sudah maklum sebagai penaja saja dan bersedia mengeluarkan kos sebanyak itu (RM600,000).
Datuk Hazarul turut menegaskan setelah beliau menyuntikkan wang tajaan kepada pasukan, beliau mengundurkan diri dan menafikan pihaknya mengambil alih pengurusan pasukan itu.
“Selepas jumlah penajaan RM600,000 kepada Hanelang FC habis sebagaimana saya janjikan, saya mengundur diri. Dakwaan Presiden PBSDHT menyatakan syarikat kami yang menguruskan perjalanan kelab itu adalah tidak benar dan pihak kami sedia berbincang dengan pengurusan Hanelang FC dan PBSDHT bagi merungkai kemelut itu.”
“Kami juga ingin bersihkan nama syarikat kami kerana kami bukan pemilik pasukan itu, namun jika PBSDHT berkeras kami tidak teragak-agak membawa kes ini ke mahkamah,” kata pemilik Tulangis Group ini kepada Berita Harian.
Sebelum ini, pemain Hanelang FC tampil dan menuntut tunggakan gaji mereka selama lapan bulan bermula dari bulan Mac sehingga bulan Oktober tahun lalu kepada pihak pengurusan pasukan. Jumlah tunggakan tersebut dianggarkan sebesar RM1.1 juta.
Baca Juga: Lihat Dulu Kemampuan Pasukan – Dr Ahmad Samsuri