Tunggakan Gaji Akan Dibayar Minggu Hadapan – KLFA
- Liga Super
- Jan 25, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) memberikan jaminan tunggakan gaji bagi bulan November dan Disember akan diselesaikan pada minggu hadapan. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.
Menurut Nokman, pihaknya telah sudah menyiapkan cek pembayaran kepada pemain yang terlibat, namun perlu mendapat pengesahan daripada Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan yang kini berada di luar negara. Penyerahan cek kepada pemain akan dilakukan pada minggu hadapan.
“Kita telah berusaha keras untuk mendapatkan dana kewangan bagi memastikan semua pemain menerima tunggakan gaji masing-masing sebelum bermulanya saingan Liga Super,”katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Akibat daripada masalah tunggakan gaji yang dihadapi, pasuka Kuala Lumpur terpaksa kehilangan pemain pertahanan mereka, Syazwan Andik Ishak yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau bersama KLFA dan kemudiannya menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim.
Pada masa yang sama, KLFA telah menjalin satu kerjasama bersama agensi insurans, 139 Associates. Menurut Nokman, beliau berharap kerjasama ini mampu untuk membantu KLFA dalam mengurangkan masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh persatuan.
“Saya harap kerjasama ini akan berterusan dan kita ucap terima kepada 139 Associates membantu kita dalam menyediakan insurans di bawah AXA Affin Life Insurance.
“Kita risau risiko pemain mendapat kecederaan agak tinggi, jadi dengan adanya insurans seperti ini, maknanya kuranglah kerisauan kita sekiranya ada pemain mengalami kecederaan serius,” tambah Nokman.
Pengasas 139 Associates, Adzlan Mohd Nerus pula menjelaskan menerusi kerjasama berkenaan, pemain Kuala Lumpur akan dilindungi dengan insurans sekiranya mereka mengalami kecederaan semasa berada di dalam dan di luar padang, dengan jumlah RM200,000 bagi satu musim.
“Kita melindungi semua kecederaan, contohnya sewaktu pemain menjalani latihan atau mengalami kecederaan ketika berada di rumah, kita akan lindungi mereka dengan insurans kita.
“Kita mempunyai kerjasama dengan pelbagai klinik panel di bawah skim insurans ini seperti Columbia Hospital dan KPJ Hospital,”kata Adzlan.
Baca Juga: KLFA Mahu Bawa Isu Syazwan Andik Ke CAS