Ulsan Hyundai Menanti The Boss Gaurus
- Luar Negara
- Feb 13, 2019
- No comment
Pasukan Perak berjaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 apabila menewaskan pasukan Kitche FC dari Hong Kong menerusi penentuan sepakan penalti setelah skuad The Boss Gaurus diikat seri dengan keputusan 1-1 pada masa sebenar perlawanan.
Berdepan dengan juara Liga Perdana Hong Kong nyata tidak melunturkan semangat pemain Perak untuk cuba mencari kemenangan pada perlawanan yang diadakan di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Pasukan bimbingan Mehmet Durakovic terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import, Wander Luiz. Kerja keras Nor Hakim Hassan di sebelah kiri membuahkan hasil apabila hantaran lintang beliau ditanduk oleh Gilmar dan Wander berjaya menguis bola hasil tandukan Gilmar dan memberikan kelebihan awal buat pasukan Perak. Keputusan 1-0 bertahan sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.
Memasuki separuh masa kedua, Kitchee menerima tamparan hebat apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Matthew Smith diperintah keluar padang akibat kad kuning kedua yang diterima pada minit ke-49.
Namun, kekurangan seorang pemain nyata tidak mematahkan semangat Kitchee. Mereka berjaya memperoleh gol penyamaan apabila Li Ngai Hoi yang tidak dikawal oleh benteng pertahanan Perak membuat percubaan sekaligus berjaya menyamakan kedudukan.
Kedudukan seri kekal sehingga masa sebenar perlawanan tamat dan kedua-dua pasukan beraksi dalam masa tambahan bagi menentukan pemenang. Meskipun menampilkan aksi yang lebih bertenaga berbanding lawan mereka, namun Perak gagal untuk mencari gol kemenangan dan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti, Hafizul Hakim sekali lagi menjadi wira pasukan dimana beliau berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Kitchee.
Pemain gantian, Kenny Pallaraj berjaya menyempurnakan sepakan terakhir sekaligus memastikan skuad The Boss Gaurus melangkah ke peringkat play-off.
Di peringkat play-off, Perak akan berdepan dengan Ulsan Hyundai. Dalam saingan K League musim lalu, Ulsan berjaya menduduki tempat ketiga dibelakang Jeonbuk Hyundai Motors yang muncul sebagai juara dan Gyeongnam FC yang muncul sebagai naib juara.
Cabaran yang bakal dihadapi oleh Perak apabila bertandang ke Korea nanti sudah pasti lebih besar.
Baca Juga: Mehmet Gesa Pemain Muda Perak Menyinar