Wajarkah Akhyar Dirisikokan Menentang Sri Lanka Dan Kyrgyztan ?

Senarai terbaharu 24 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan meraih perhatian ramai apabila kelibat pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh turut dipilih oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe. Dalam senarai tersebut juga ada pemain sayap lincah Kedah, Akhyar Rashid.

Bagi penulis, pemilihan Sumareh sememangnya tepat terutama selepas Pahang tersingkir dari kancah Piala Malaysia yang bermaksud tiada lagi halangan lain untuk Sumareh menyertai skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, perkara yang lebih mengejutkan penulis serta segelintir penyokong bola sepak negara tentunya pemilihan ‘wonderkid’ Kedah, Akhyar Rashid yang sebelum ini turut dipanggil menyertai kem latihan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara.

Akhyar yang kini sedang mengikuti persiapan skuad kendalian Bojan Hodak menjelang kejohanan AFC B-19 Tahun di Jakarta, hujung bulan ini akan menyaksikan pemain muda itu terikat dengan dua tugasan berbeza pada masa yang sama.

Cheng Hoe dalam temubualnya bersama Astro Arena menyatakan bahawa dia telah mendapat persetujuan daripada Bojan Hodak untuk memilih Akhyar menyertai kem skuad senior.

Ujarnya, Akhyar akan terus menyertai semula skuad B-19 tahun negara sehari selepas perlawanan skuad senior menentang Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober depan.
Skuad B-19 negara bakal memulakan aksi di kejohanan peringkat umur itu pada 20 Oktober menentang Arab Saudi sebelum bertemu Tajikistan pada 23 Oktober dan perlwanan terakhir Kumpulan D menentang China pada 26 Oktober.

Jadual perlawanan yang sesak itu membuat penulis tertanya-tanya sama ada Akhyar mampu memberikan aksi terbaiknya jika dipilih untuk bermain dalam kesemua perlawanan skuad senior dan skuad B-19 itu.

Bagi penulis lagi, Akhyar sepatutnya direhatkan daripada skuad senior kali ini supaya dia dapat memberi sepenuh tumpuan kepada misi skuad B-19 negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 di Poland sekiranya berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan.

Sejurus kejohanan tersebut berakhir, Cheng Hoe boleh memanggil Akhyar semula untuk persiapan kejohanan terbesar Asia Tenggara iaitu AFF Suzuki Cup yang akan bermula November depan.
Sejak awal tahun 2018, Akhyar telah berkhidmat untuk negara dalam setiap peringkat umur yang layak disertainya bermula dengan kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Tidak lama kemudian, khidmat Akhyar ditagih skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Mongolia, yang menyaksikan dia menjaringkan gol pertamanya buat skuad senior dalam perlawanan tersebut.

Julai lalu, Akhyar beraksi untuk skuad B-19 tahun negara di Indonesia bagi kejohanan AFF B-19 sebelum terpaksa pulang awal kerana kecederaan bahu dan tidak bersama rakan sepasukan mengangkat trofi sebagai juara.

Seterusnya, pemain muda itu turun beraksi di Sukan Asia yang berlangsung di Indonesia bersama skuad B-23 negara pada Ogos lalu dan terlibat dalam perlawanan bersejarah menewaskan Korea Selatan 2-0 di peringkat kumpulan. Terbaharu, Akhyar turut beraksi dalam siri perlawanan persahabatan awal September lalu dalam kekalahan skuad negara menentang Taiwan dan juga kemenangan menentang Kemboja.

Fatigue atau keletihan merupakan perkara biasa buat atlet bola sepak terutama selepas mereka beraksi dalam terlalu banyak perlawanan dan berisiko mengalami kecederaan. Tindakan Cheng Hoe merehatkan Safawi Rasid daripada menyertai dua kem skuad kebangsaan selepas Sukan Asia juga tidak dipertikai oleh orang ramai memandangkan perkara itu sememangnya patut dilakukan.

Selain Safawi, pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran juga digugurkan daripada skuad terbaharu ini sekaligus memberi peluang buat Nik Akif menyiapkan diri untuk Kejohanan AFC B-19 selepas Kelantan tersingkir dari Piala Malaysia.

Oleh itu, pemilihan Akhyar dalam skuad kali ini dilihat sedikit merunsingkan sedangkan Safawi dan Nik Akif direhatkan daripada skuad senior kebangsaan.

Dalam masa sama, Cheng Hoe boleh mencuba beberapa pemain baharu dalam usaha mencari skuad terbaik sebelum kejohanan AFF Suzuki Cup nanti sekiranya dia merehatkan Akhyar. Tidak dinafikan, Akhyar kini sudah boleh dianggap sebagai permata bola sepak negara biarpun usianya baru mencecah 19 tahun dan kerana itulah dia perlu dijaga dengan baik serta direhatkan jika perlu.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Effan Zaery. Jika anda mempunyai artikel yang mahu dikongsikan bersama peminat bola sepak tanah air, hubungi kami di media sosial Inikan Bola.

Baca Juga: Peluang Hazwan Bakri Pikat Hati Cheng Hoe

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *