Wang Jualan Tiket Pasukan Perlis Lesap?

Setelah disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini, pelbagai isu yang diperbincangkan mengenai pasukan Perlis. Baru-baru ini, terdapat ura-ura mengatakan wang jualan tiket ketika perlawanan pra musim pasukan itu lesap.

PFA dikatakan berjaya mengutip sebanyak RM400,000 ketika dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Kedah dan Pulau Pinang.

Perkara ini didedahkan oleh seorang pemain yang sudahpun berpindah ke pasukan lain. Menurut beliau, mustahil tiada walau sedikitpun wang di dalam akaun pasukan bagi membayar gaji pemain yang tidak menerima gaji lebih dua bulan.

“Mula-mula dia (Presiden PFA) cakap ada RM15 juta, memang nampaknya kami tertipu. Lepas isu gaji ni timbul, bulan Januari lalu kami ada bagitahu dekat wakil pengurusan kenapa tidak guna sahaja dulu duit jualan tiket, kalau ada RM100,000 sekalipun, bayar sikit sorang boleh kurangkan beban kami. Takkanlah untuk kegunaan kecemasan duit tersebut tak boleh disentuh.

“Tapi pengurusan diam, tak cakap apa-apa pasal duit tu, yang kami diberitahu duit tak ada, kutipan tak banyak seperti dijangka. Jadi ke mana hilang duit tu, kedua-dua perlawanan penyokong datang sampai nak roboh stadium, house full, takkanlah nak cakap mereka masuk percuma sedangkan tiket dijual paling murah RM10 untuk tempat duduk terbuka.

“Perkara ini perlu disiasat, sekarang ia bukan semata-mata isu kontrak dicabul atau kena tipu, duit jualan tiket pun entah ke mana,” kata pemain itu menurut laporan Foxsport Asia.

Sebagai rekod, pasukan Perlis berjaya menewaskan Kedah dengan keputusan 3-1 pada 22 Disember dan kemudiannya seri 1-1 menentang Pulau Pinang pada 28 Disember dalam aksi berlangsung di Stadium Tuanku Ayed Putra Kangar dimana stadium tersebut boleh memuatkan seramai 20,000 penyokong.

Sekiranya tiada penyelewengan maka PFA telah berjaya mengaut hampir ataupun lebih dari RM400,000 (belum ditolak kos operasi termasuklah sewa stadium, teknikal dan sebagainya).

Namun, persoalan timbul mengenai kemana hilangnya wang kutipan tiket tersebut apabila pemain bagi skuad musim 2019 langsung tidak menerima gaji sejak menyertai pasukan.

Baca Juga: MFL Beri Tempoh 7 Hari Kepada PFA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *