Yusoff Mahadi Atau Subahan Kamal ?
- Harimau Malaya
- Mar 17, 2018
- No comment
Teka-teki mengenai masa depan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden FAM masih lagi menjadi tanda-tanya. Peminat bola sepak Malaysia masih belum mendengar kenyataan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Jika benar TMJ meletak jawatan, siapa yang akan menggantikan baginda ? Adakah Datuk Seri Subahan Kamal ? Atau Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ?
Mengapa kami memilih kedua-dua nama di atas ? Kerana mereka adalah sebgahagian daripada naib Presiden FAM dan mereka juga adalah dua nama yang berkemungkinan besar menjadi pengganti TMJ jika dilihat kepada situasi semasa. Kedua-dua individu ini memegang jawatan penting di dalam FAM selain mempunyai jawatan dalam pasukan bola sepak negeri masing-masing.
Datuk Seri Subahan Kamal merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika ini. Beliau dipilih sebagai presiden selepas FAS dicampakkan oleh kerajaan negeri Selangor. Beliau berjaya membawa pasukan Selangor dengan bajet yang amat sedikit menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-6 musim lalu.
Datuk Seri Subahan juga pernah menjadi pengurus skuad kebangsaan sebelum digantikan dengan Nelo Vingada. Jadi, secara tidak langsung beliau mempunyai pengalaman untuk menerajui badan induk bola sepak negara.
Bagi Datuk Wira Yusoff Mahadi pula, beliau ketika ini menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan Liga Super, Melaka United. Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai pengurus pasukan Bawah 23 Tahun Malaysia. Pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Wira Yussof Mahadi boleh dikatakan cukup untuk memegang tampuk pemerintahan badan induk bola sepak negara.
Tidak dinafikan semua pihak masih mahukan TMJ untuk menarik balik hasrat meletak jawatan beliau dan terus menjadi presiden FAM. Kami juga sama seperti anda semua. Masih lagi mahukan TMJ untuk terus membangunkan bola sepak negara ke arah yang lebih baik.
Kami hanya berpendapat jika benar TMJ meletak jawatan, maka dua nama di atas dilihat calon yang sesuai untuk menggantikan baginda. Pengalaman yang dimiliki selama bersama FAM boleh dimanfaatkan bagi meneruskan pembangunan yang sudah dilakukan oleh baginda.
Baca Juga: FAM Masih Sayangkan TMJ!