Yusri Che Lah Kekal Kemudi Pasukan Kelantan
- Liga Perdana
- Nov 20, 2018
- No comment
Pengurusan pasukan Kelantan mengambil keputusan untuk mengekalkan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) , Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, hasil perbincangan pada pada 12 November lalu, jurulatih kelahiran Perlis itu bersetuju menyambung kontrak setahun lagi sehingga musim 2019.
“Hasil pertemuan dengan Yusri memberikan keputusan positif memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020.
“KAFA secara rasmi bersetuju melantik Yusri sebagai ketua jurulatih Kelantan musim depan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Menurut Bibi Ramjani, KAFA menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Yusri Che Lah dalam menentukan pemain tempatan dan import yang bakal menggalas cabaran pasukan Kelantan yang akan beraki dalam saingan Liga Perdana musim depan.
Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan setelah Sathit Bensoh dan Fajr Ibrahim tidak mampu untuk menguruskan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
KAFA meletakkan sasaran kepada Yusri iaitu untuk berada dalam kelompok dua pasukan terbaik dan kembali beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2020.
“KAFA menetapkan sasaran untuk berada di kelompok teratas liga untuk melayakkan TRW kembali bersaing semula ke Liga Super,” katanya.
Setelah isu ketua jurulatih pasukan berjaya dimuktamadkan, kini persoalan peminat terarah kepada pemain yang akan mewakili pasukan terutamanya pemain muda pasukan iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Nik Azli Nik Alias.
Nik Akif menjadi buruan beberapa pasukan dari dalam dan luar negara setelah pemain berusia 19 tahun ini menampilkan aksi cemerlang sepanjang saingan musim 2018. Nik Akif juga tampil bersama pasukan kebangsaan di tiga peringkat.
Baca Juga: Elak Tragedi Edisi 2016 Berulang