Yusri Risau Lebih Ramai Pemain Angkat Kaki

Ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur, Yusri Che Lah bimbang lebih ramai pemain akan angkat kaki dan meninggalkan pasukan jika isu dalaman Persatuan Bola Sepak Kuala Lumur (KLFA) belum berjaya diselesaikan.

Setakat ini, Yusri sudah kehilangan pemain pertahanan, Syazwan Andik Ishak yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau bersama KLFA dan menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

KLFA berdepan konflik dalaman sehinggakan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengarahkan kongres persatuan itu ditunda bagi memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan.

“Saya mahu pemain saya kekal (tidak angkat kaki). Walau bagaimanapun, saya tidak boleh menghalang jika mereka memutuskan untuk berhijrah. Pihak pengurusan sedang bertungkus-lumus dalam memastikan pemain mendaat gaji mereka.

“Kita mempunyai pemain yang berkualiti seperti Irfan (Zakaria). Kita mahu menyimpan pemain ini dan memastikan pasukan mempamerkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super. Saya pasti pemain akan memberikan komitmen penuh dan semua isu dapat diseleaikan,” kata Yusri menurut laporan The Star.

Bekas pengendali Kelantan ini menambah beliau akan memaksimumkan penggunaan skuad yang ada ketika ini.

“Pihak pengurusan telah menetapkan sasaran untuk saya dan juga pasukan untuk mencapai sasaran tersebut. Saya tidak boleh mengeluh dan mengatakan pasukan saya tidak cukup bagus sepanjang masa.

“Ada pemain lain dan mereka sepatutnya mengambil peluang ini untuk membuktikan kemampuan mereka. Saya akan menggunakan pemain dari skuad Piala Presiden dan juga pemain simpanan pasukan untuk memperkuatkan pasukan utama.

“Sekarang adalah masa dimana mereka perlu membuktikan yang mereka layak untuk menjadi sebahagian daripada skuad utama,” tambah Yusri.

Ada tiga pemain muda yang dikhabarkan bakal memainkan peranan penting bagi pasukan Kuala Lumpur musim ini. Tiga pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan, Azhar Apandi dan dua pemain tengah, Haziq Muiz serta Hardee Samsuri.

Pasukan Kuala Lumpur akan membuka tirai Liga Super musim 2019 dengan menentang pasukan Pahang di Stadium KLFA pada Jumaat ini.

Baca Juga: Apa Sudah Jadi Dengan Pasukan Ibu Kota ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *