Zafuan Azeman Tolak Tawaran Yangju Citizen, Apa Cerita ?
- Liga Super, Luar Negara
- May 21, 2018
- No comment
Penyerang skuad Bawah 19 Tahun negara, Zafuan Azeman dikhabarkan menolak tawaran Yangju Citizen FC dan sudah kembali ke Malaysia. Perkara ini disahkan oleh pasukan Kedah menerusi pengumuman di laman media sosial Facebook pasukan.
Sebelum ini, Zafuan mendapat tawaran untuk menjalani ujian selama dua minggu bersama kelab yang beraksi di Divisyen tiga K League ini. Akan tetapi, tempoh ujian Zafuan masih lagi belum tamat dan beliau sudahpun menolak tawaran Yangju Citizen ini.
Penulis ingatkan Zafuan ini berbeza dengan abang-abang beliau sebelum ini yang pernah beraksi di luar negara. Namun pulang ke Malaysia sama ada tidak biasa dengan budaya negara tersebut atau mereka rindukan teman wanita dan juga nasi lemak berserta teh tarik.
Namun, tanggapan penulis meleset sama sekali. Belum pun mendapat kontrak profesional daripada Yangju, namun Zafuan sudah menolak untuk meneruskan tempoh ujian beliau dan memutuskan untuk pulang ke Malaysia.
Apa penyebab Zafuan menolak untuk meneruskan ujian beliau ? Penulis juga tidak tahu. Namun, apa yang pasti, Zafuan telah menyia-nyiakan peluang untuk beliau mencipta nama dengan bermain di Korean League.
Perkara ini bukan kali pertama berlaku yang melibatkan pemain muda negara menolak tawaran kelab daripada luar negara. Ada beberapa nama yang hanya mewakili sesebuah pasukan dalam tempoh setengah musim sahaja. Kemudian pemain tersebut pulang ke tanah air.
Kalau mentaliti pemain muda kita masih lagi di tahap seperti ini, tahap dimana sudah berasa selesa dengan pencapaian semasa, bila bola sepak kita nak maju ke hadapan ? Bila kita nak melihat penyerang dari Malaysia menjadi antara penjaring terbanyak di liga luar negara ?
Jawapan kepada persoalan di atas nampaknya masih belum ditemui buat masa ini. Diharapkan selepas ini jika ada pemain yang mendapat peluang untuk menjalani ujian sekaligus beraksi bersama pasukan dari luar negara, pemain tersebut tidak menyia-nyiakan peluang yang ada.
Sukar untuk pemain kita nak mendapat peluang untuk beraksi di luar negara. Jadi manfaatkan peluang tersbeut sebaik mungkin.
Baca Juga: Zafuan Azeman Memulakan Ujian Bersama Yangju