Zairo Anuar Minta Bantuan Kerajaan Negeri

Bekas ketua pasukan Hanelang FC, Zairo Anuar Zailani mendesak agar kerajaan negeri Terengganu campur tangan dalam isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu yang sehingga kini belum dibayar oleh pihak pengurusan terbabit.

Menurut Zairo, kini beliau dan rakan sepasukan yang lain buntu setelah Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) dan syarikat Tulangis Group masing-masing mendakwa bukan pemilik kelab berkenaan sekaligus tiada tempat hendak dituju bagi menuntut hak mereka.

Atas sebab keliru dan juga terdesak, Zairo meminta pihak bertanggungjawab untuk segera melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai kerana masalah ini sudah lama berlarutan dan tiada jalan penyelesaian yang berjaya dicapai.

“Selain mahu campur tangan daripada kerajaan negeri, kami juga memohon jasa baik Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membantu kami kerana pasukan Hanelang juga adalah ahli gabungan PBSNT.

“Sebagai ahli gabungan PBSNT mana kebajikan kami? Kami ada kontrak hitam putih dengan kelab kami, bantulah kami usah biarkan kami keseorangan menuntut hak, siapa lagi perlu dengar rintihan kami jika tidak persatuan?

“Ini kerana aduan sudah dibuat kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan kerajaan negeri, namun setakat ini semuanya hampa malah bayang pun tidak nampak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, seramai 20 bekas pemain pasukan itu tampil dan menuntut gaji mereka sebanyak RM1.1 juta yang tertunggak selama lapan bulan bermula bulan Mac hingga Oktober tahun lalu. Jumlah itu tidak termasuk tunggakan gaji barisan jurulatih.

Tambah Zairo Anuar, beliau meminta PBSNT untuk mengingati jasa beliau dan rakan sepasukan yang lain ketika membantu Terengganu menjulang kejuaraan sebelum ini.

“Tapi kini bukan setakat nak hargai atau nak tolong, tanya khabar pun tidak seolah-olah kami tidak ada sumbangan langsung kepada negeri sebelum ini.

‘Kami harap PBSNT bantu kami, lihat kesusahan kami, bukannya mengambil sikap membisu dalam hal ini lagipun surat sudah dihantar kepada kerajaan negeri dan PBSNT,” tambahnya.

Baca Juga: Tulangis Group Nafi Hanelang FC Milik Mereka

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *