Ziyovuddin Fuzaylov Tidak Dendam Dengan Pemain Malaysia
- Harimau Malaya
- Oct 25, 2018
- No comment
Pemain Tajikistan yang memakai jersi nombor 20, Ziyovuddin Fuzaylov menyatakan beliau tidak menyimpan dendam terhadap pemain Malaysia meskipun mengalami kecederaan yang serius dan membuatkan beliau terpaksa melupakan aksi bola sepak selama tiga bulan.
Ziyovuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kata-kata semangat sejurus beliau mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Malaysia pada Selasa lalu.
“Terima kasih kepada pasukan kami, terima kasih kepada HQ pasukan nasional kami, terima kasih kepada kawan-kawan saya, terima kasih kepada semua penyokong, terima kasih kepada keluarga dan terima kasih kepada Tuhan.
“Menurut doktor, pemulihan akan mengambil masa selama dua bulan setengah. Saya akan melakukan segalanya untuk cepat pulih dan beraksi semula di atas padang.
“Adakah saya menyiman dendam terhadap pemain Malaysia ? Tidak. Beliau sudah meminta maaf kepada saya. Saya pasti beliau tidak mahu mencederakan saya. Kecederaan dalam sukan bola sepak adalah sebahagian daripada permainan. Mereka (pemain) perlu bersedia. Sudah tentu saya takut selepas mengalami kecederaan. Saya bersyukur tidak mengalami patah tulang dan tidak mengalami kecederaan yang serius”, kata Ziyovuddin menurut laporan Sukan Sinar.
Ziyovuddin Fuzaylov turut mengucapkan selamat berjaya kepada rakan sepasukan beliau untuk baki saingan AFC Bawah 19 Tahun dimana Tajikistan akan menghadapi pasukan Arab Saudi pada perlawanan terakhir kumpulan D esok.
“Semoga berjaya! Saya percaya dengan kemampuan anda (rakan sepasukan). Ayuh mara Tajikistan!”, tambah Ziyovuddin.
Pada mulanya, Ziyovuddin dikhabarkan mengalami kecederaan patah kaki selepas terlibat dalam perebutan bola bersama pemain Malaysia, Nabil Hakim pada minit-minit akhir permainan.
Setelah ujian MRI dilakukan, Ziyovuddin mengalami ankle dislocation dan tiada sebarang keretakan berlaku pada tulang kaki (tibia dan fibula) beliau. Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Tajikistan menerusi satu pengumunan di laman media sosial mereka.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudiannya turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar Ziyovuddin Fuzaylov segera pulih daripada kecederaan yang dialami.
Baca Juga: Peluang Ke Peringkat Kalah Mati Masih Terbuka