Zuhair Aizat Wajar Diberikan Lebih Peluang
- Liga Super
- Mar 11, 2019
- No comment
Pahang berjaya membenam pasukan Kedah di laman sendiri pada Jumaat selepas mengalahkan pasukan pelawat itu dengan jaringan 1-0 hasil sentuhan Zuhair Aizat. Pahang yang beraksi tanpa kelibat Ze Love yang digantung perlawanan menerima saingan sengit dari Kedah sepanjang 90 minit perlawanan.
Kedua-dua pasukan rancak mengatur serangan bagi mencari gol pendahuluan. Beberapa siri serangan dari kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan tampak menarik. Ada ketika Pahang berjaya mendominasi perlawanan namun atur gerak yang dilakukan dari bahagian tengah dan sayap berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Kedah yang diketuai oleh Khairul Helmi.
Pahang kemudiannya dihadiahkan satu sepakan penalti selepas Dickson Nwakaeme dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Baddrol Bakhtiar tetapi Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan peluang tersebut selepas sepakannya mudah dinafikan Ifwat Akmal. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 0-0.
Memasuki babak kedua, tempo serangan yang rancak dibawa ke separuh masa kedua. Faisal Rosli dan Davies acapkali melakukan overlapping untuk membantu sektor serangan pasukan Pahang. Terdapat beberapa siri peluang keemasan untuk pasukan Pahang tetapi kecekapan penjaga gol Kedah berjaya menafikan gawang mereka dari dibolosi.
Melihat kepada kebuntuan jentera serangan Pahang untuk mencipta jaringan, Dollah Salleh membawa masuk Wan Zaharulnizam menggantikan Norshahrul pada minit ke-78.
Selang beberapa minit kemudian, Dollah Salleh membawa masuk Zuhair Aizat menggantikan Sumareh yang mengalami kecederaan. Debut pertama Zuhair bermula dengan langkah kanan apabila dia berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan dan juga gol kemenangan untuk pasukan Pahang pada minit ke-86. Selepas itu, ada dua peluang keemasan untuk Pahang menambah jaringan namun tidak berjaya.
85’| GOL ZUHAIR AIZAT!
Rembatan Zuhair Aizat terbias Khairul Helmi Johari untuk memecahkan kebuntuan di Kuantan. Tok Gajah mendahului ketika ini!@OfficialPahang 1-0 @MEDIAKFA #PHGKED#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/57mvMhPgUv
— MFL LIVE (@MFL_Live) March 8, 2019
Amnya, Zuhair Aizat adalah pemain muda yang berbakat besar. Beraksi di posisi sayap, beliau selalu diturunkan di dalam kesebelasan utama ketika perlawanan pra-musim dan turut menyumbang jaringan untuk pasukan Pahang.
Debut pertama dan gol yang dijaringkan pada malam tadi bakal menjadi tonik terbaik buat beliau beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang.
Selepas ini, Pahang akan menentang Felda United di Stadium Jengka. Maka, wajarlah untuk Zuhair Aizat diberi lebih banyak peluang untuk bermain selepas beliau menunjukkan prestasi yang baik pada aksi Liga Super pertamanya.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Zul Effandi. Beliau merupakan peminat pasukan Pahang.
Baca Juga: Berbelanja Mengikut Kemampuan – Akmal Rizal